Air Sebagai Sumber Tenaga untuk Manusia


Apabila bumi dilihat daripada angkasa, ia kelihatan seperti sebuah planet yang dipenuhi dengan air kerana 71% permukaannya diliputi lautan, sungai dan tasik. Kita mestilah memanfaatkan anugerah Tuhan ini dengan pelbagai kaedah untuk keperluan manuisa sejagat. Antaranya termasuklah penjanaan tenaga elektrik. 

Tahukah anda beberapa buah negara seperti China dan Perancis memanfaatkan air yang terdapat di negara mereka kerana mereka berpotensi besar menggunakan tenaga-tenaga yang berasaskan air bagi penjanaan elektrik? Malah, negara kita turut mengambil faedah sumber air untuk penjanaan elektrik.



Tenaga Ombak

Ombak yang bergerak ke persisir pantai dan kembali ke laut mempunyai tenaga keupayaan dan tenaga kinetik. Ombak digunakan untuk memutarkan turbin dan dinamo bagi menghasilkan tenaga elektrik.

Pukulan Ombak
Negara pertama di dunia yang memperkenalkan penjanaan tenga ombak ialah Perancis. Pada asalnya, tenaga ombak digunakan untuk menggerakkan pam air, gergaji dan mesin. 

Apakah sebab Perancis menggunakan tenaga ini? Antara faktor Perancis mempunyai potensi besar menggunakan tenaga ombak bagi penjanaan tenaga elektrik ialah:
  • Perancis mempunyai pantai sepanjang 3 427 km yang menghadap Lautan Atlantik
  • pukulan ombak yang kuat
Kerajaan Perancis telah membina sebuah empangan di Sungai Rance, St. Malo La Rance untuk memerangkap ombak bagi menjana tenaga elektirk. Melalui stesen ini, wilayah Brittany telah dibekalkan 90% bekalan tenaga.

Penjanaan tenaga ombak ini dapat dilakukan melalui beberapa cara, iaitu:
  • kaedah saluran terus
  • kaedah pelampung
  • kaedah kolam berayun
  • kaedah turbin bawah air

Tenaga Pasang Surut

Air pasang dan air surut berlaku di pantai dua kali sehari. Pergerakan pasang surut air laut ini memliki tenaga kinetik manakala air pasang mempunyai tenaga keupayaan untuk memutarkan turbin dan dinamo bagi menghasilkan tenaga elektrik.

Terdapat beberapa kelebihan penggunaan sumber pasang surut ini. Antaranya ialah:


  • Tenaga ini tidak mencemarkan alam
  • Penghasilannya tidak memerlukan petroleum

Namun, terdapat beberapa masalah penjanaan tenaga ini. Antara masalah utamanya ialah penjanaan ini memerlukan kos pembinaan yang tinggi.


Negara China mempunyai kawasan pantai yang mengalami arus pasang surut yang deras. Pada awalnya, tenaga ini dijana di beberapa stesen kecil dengan keupayaan 12 kilowatt. Dalam tempoh dua tahun sahaja, 40 buah stesen kecil dibina di seluruh China.

"Stesen di Wenzhou di daerah Zhejiang adalah stesen tenaga pasang surut yang terbesar di Asia."
Stesen di Jiangxia, China
Jiangxia, Kuihe, Haishan, Baishaku dan Yuepu antara stesen utama penjanaan tenaga pasang surut di China.

Penjanaan tenaga ini dilakukan dengan menggunakan beberapa kaedah seperti kaedah empangan dan arus pasang surut.



Tenaga Hidro


Air daripada sungai boleh disekat untuk membentuk empangan. Air yang tersimpan di dalam empangan mempunyai tenaga keupayaan dan air itu mempunyai tenaga kinetik apabila air mengalir keluar darinya.

Di stesen jana kuasa hidroelektrik, tenaga daripada air di dalam empangan digunakan untuk memutarkan dinamo untuk menghasilkan tenaga elektrik.
Empangan di Sarawak

Malaysia mempunyai 12 stesen utama dan 58 stesen kecil penjanaan tenaga hidroelektrik. TNB Energy Services Sdn Bhd (TNB-ES) yang dimiliki sepenuhnya oleh Tenaga Nasional Berhad atau TNB telah diberi kepercayaan untuk menjalankan operasi dan mengawal 30 stesen kecil tenaga hidroelektrik yang berada di Semenanjung Malaysia dengan jumlah kapasiti yang dipasang kira-kira 16MW.

Previous
Next Post »

Kata-Kata Bijak Pandai ConversionConversion EmoticonEmoticon